Perkataan 'Insuran' itu berasal daripada 'Insurance' (American) atau
'Assurance' (British) bermaksud 'Jaminan'. Insuran adalah pemindahan
risiko daripada seorang individu seperti anda, atau sebuah organisasi,
seperti syarikat anda, kepada syarikat insurans. Anda atau syarikat anda
akan dikenali sebagai pemegang polisi. Syarikat insurans akan menerima
bayaran daripada anda dalam bentuk premium dan sekiranya anda mengalami
sebarang kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar
pampasan kepada anda. Ianya adalah salah satu instrumen perancangan
kewangan yang sebenarnya memberikan ketenangan jiwa.
Bagaimana pula syarikat insurans dapat membayar pada jumlah yang tinggi kepada anda meskipun bayaran premium yang dibayar setiap bulan tidak begitu banyak? Dari mana datangnya wang berkenaan? Sebenarnya, syarikat insurans menjual polisi kepada ribuan orang dan premium yang dikutip itu akan menjadi dana tabung bersama (pool money)
Disebabkan tidak semua pemegang polisi yang membayar premium bagi dana tabung itu mengalami peristiwa kurang baik dalam hidup mereka, dan sekiranya ia berlaku sekalipun, ia jarang berlaku serentak, maka syarikat insurans mampu menyediakan wang yang banyak (daripada hasil dana tabung tersebut) bagi membayar faedah insurans kepada pemegang polisi yang ditimpa musibah.
Begitu juga didalam konsep Takaful, wujud suatu pakatan kumpulan untuk saling jamin-menjamin dan bantu membantu antara satu sama lain ketika para peserta kumpulan tersebut ditimpa sesuatu musibah. Ini adalah satu konsep yang berasaskan prinsip-prinsip berkongsi tanggungjawab, bekerjasama dan saling membantu menjaga kepentingan bersama. Setiap peserta menyumbang berasaskan 'tabarru’ (derma) kepada dana yang akan digunakan untuk membantu satu sama lain pada masa yang diperlukan.
Jadi, wang yang dibayar sebagai premium insurans setiap bulan sebenarnya memberikan perlindungan kepada anda. Antaranya, wang itu dapat membayar ke atas sebarang kerosakan yang berlaku kepada barangan yang anda beli atau menggantikannya jika ia dicuri (dikenali sebagai Insuran Am). Ia juga boleh membayar bil perubatan apabila anda dan ahli keluarga dimasukkan ke hospital (dikenali sebagai Insuran Kesihatan) atau nama popularnya 'Medical Card'.